Thursday 30 May 2013

Cara-Cara Memartabatkan Pantun dalam Kehidupan Seharian


Dewasa kini masyarakat Melayu tidak lagi menggunakan pantun dalam kehidupan seharian. Arus kemodenan dan teknologi telah menghanyutkan keindahan bahasa Melayu yang merupakan jiwa bangsa masyarakat Melayu sejak berkurun lamanya. . Kebanyakkan generasi muda yang hidup di alam siber dan kecanggihan teknologi hari ini menganggap penggunaan pantun sudah tidak releven lagi. Natijahnya, keistimewaan bahasa ini kian hanyut ditelan zaman. Walaupun begitu, kita masih boleh menggunakan pelbagai kaedah untuk memartabatkan penggunaan pantun. Meskipun tidak dapat dinafikan bahawa bukan mudah untuk menerapkan penggunaan pantun dalam kehidupan seharian secara keseluruhan, akan tetapi bak kata pepatah alah bisa tegal biasa. Selaku generasi muda yang sedar akan kepentingan mempertahankan kesusateraan Melayu lama ini, kita haruslah berganding bahu mempertahankan dan meluaskan penggunaan pantun dalam kehidupan seharian supaya keunikan puisi Melayu klasik ini supaya tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas.

Oleh itu, pelbagai inisiatif telah dikenal pasti bagi memartabatkan pantun supaya generasi kini tidak berasa janggal untuk menggunakan pantun dalam kehidupan seharian mereka. Tidak dapat disangkalkan lagi bahawa, ibu bapa merupakan individu yang paling hampir dan rapat dengan kita. Kedua-dua insan ini  memberi pengaruh yang besar dalam kehidupan seharian kita kerana merekalah yang menjaga dan mendidik kita sejak kecil hingga dewasa. Oleh itu, ibu bapa boleh memainkan peranan dengan menerapkan puisi Melayu klasik atau pantun ini. Misalnya, ibu bapa boleh menggunakan pantun dalam perbualan seharian dalam keluarga. Penggunaan pantun adalah sangat meluas dan boleh diguna pakai dalam aspek kehidupan sama ada bertujuan sebagai gurauan, hiburan, nasihat, sindiran, lawak jenaka, adat istiadat dan sebagainya. Pantun juga boleh digunakan sebagai medium untuk mendidik anak-anak kecil seperti memberi nasihat atau teladan. Contoh pantun nasihat dan teladan ialah :
Dalam semak ada duri,
Ayam Kuning buat sarang,
Orang tamak selalu rugi,
Macam anjing dengan bayang-bayang.

Cuaca gelap semakin redup,
Masakan boleh kembali terang,
Budi bahasa amalan hidup,
Barulah kekal dihormati orang.

Selain memperluaskan penggunaan pantun dalam kehidupan seharian, sekaligus ibu bapa dapat menyelitkan unsur-unsur nasihat dan teladan seperti dua buah rangkap pantun di atas. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kesannya, anak- anak kecil ini akan terbiasa dengan penggunaan pantun sekaligus dapat diamalkan oleh mereka sehingga dewasa kelak.
Sekolah merupakan sebuah institusi yang memainkan peranan mendidik dan membimbing pelajar secara efektif. Oleh itu, peranan guru selaku pendidik memainkan peranan penting dalam memartabatkan pantun dalam kegunaan seharian. Hal ini demikian kerana pelajar-pelajar umpama kain putih, gurulah yang mencorakkannya. Dalam konteks ini guru boleh memainkan peranannya dengan cara menyelitkan unsur pantun sewaktu sesi pembelajaran. Guru bahasa terutamanya boleh menekankan kepentingan dan keindahan pantun Melayu ini. Pantun Melayu ini tidak terhad kepada pelajar berbangsa Melayu sahaja malah terbuka kepada pelajar berbangsa lain untuk mempelajari dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.  Bagi memperkenalkan pantun kepada pelajar di sekolah rendah mahupun menengah, pelbagai program boleh diadakan misalnya dengan mengadakan kempem Mari Berpantun, Minggu Pantun dan ceramah mengenai pantun dan kepentingannya.

Selain itu, pihak sekolah juga boleh mengedarkan risalah berkaitan pantun dan senarai pantun serta penjelasan maknanya secara percuma kepada pelajar. Hal ini dapat memupuk minat pelajar untuk mendalami dan menggunakan pantun dalam kehidupan seharian semasa di ekolah mahupun di rumah. Bukan itu sahaja, pertandingan berpantun, menulis pantun dan berbalas pantun boleh diadakan sepanjang berlangsungnya kempem Minggu Pantun di sekolah. Bagi menarik minat para pelajar dan menggalakkan penyertaannya, pihak sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh menyediakan sijil penyertaan dan  hadiah yang lumayan kepada pemenang dan peserta. Malah, pihak sekolah juga boleh mengadakan persembahan lakonan berdasarkan pantun Melayu Klasik yang mana bukan sahaja mendedahkan penggunaan pantun kepada pelajar, secara tidak langsung dapat mengasah bakat dan membina keyakinan diri pelajar pada masa yang sama.
            Di samping itu, komunikasi massa juga memainkan peranan yang sangat penting sebagai medium untuk memartabatkan penggunaan pantun dalam kehidupan seharian. Donald Byker dan Loren J Anderson mentafsirkan komunikasi sebagai satu proses perkongsiaan maklumat antara dua individu atau lebih. Menurut kamus Dewan, komunikasi boleh didefinisikan sebagai perhubungan secara langsung atau perantaraan surat, radio, televisyen, telefon dan lain-lain lagi. Manakala, komunikasi massa pula bermaksud komunikasi atu perhubungan yang sampai kepada orang ramai. Peranan media massa pada hari ini sangat penting bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Hal ini demikian kerana media massa berfungsi sebagai penyalur maklumat dan informasi terkini tidak kiralah daripada segi hiburan, pendidikan, politik, agama, ekonomi dan sebagainya. Oleh itu, masyarakat berasa dekat dengan media massa dan sedikit sebanyak media massa mampu mempengaruhi mereka sama ada ke arah positif atau sebaliknya.

Media massa terbahagi kepada dua iaitu media cetak dan media elektronik. Buku, majalah dan surat khabar merupakan bahan media cetak yang hampir dengan masyarakat sebagai penyalur berita terkini. Memandangkan media cetak mendapat tempat dalam kalangan pembaca di negara ini, sewajarnyalah media berkenaan menjadi saluran penting untuk memartabatkan pantun dalam kehidupan seharian mereka. Misalnya, penerbitan media cetak seperti surat khabar dan majalah boleh menyediakan ruangan khas senarai pantun dan penggunaannya. Editor dan penulis  juga boleh menyelitkan penggunaan pantun dalam karya penulisannya. Dengan ini, pembaca akan terbiasa dengan penggunaan pantun dalam penulisan. Penerbit juga boleh menggalakkan minat pembaca terhadap pantun dengan menyediakan ruangan teka teki dan pertandingan dalam bahan cetak tersebut. Hadiah yang lumayan mampu menarik pembaca untuk menyertai sekaligus mampu memartabatkan penggunaan pantun dalam kehidupan seharian mereka.

            Peranan media elektronik juga tidak terbanding hebatnya dalam membantu dan menyumbang kepada usaha memartabatkan penggunaan pantun. Pengamal media elektronik dalam kalangan swasta perlu lebih agresif dan peka terhadap kepentingan nilai bahasa seperti pantun melayu selain mengaut keuntungan emata-mata menerusi rancangan tertentu dan mengabaikan penggunaan pantun dan keindahan bahasa ibunda yang juga merupakan bahasa kebangsaan kita di Malaysia. Syarikat Televisyen Malaysia Berhad (TV3) atau kini dikategorikan sebagai Media Prima Berhad seperti NTV7, TV9 dan syarikat televisyen swasta yang lain disarankan dan diseru untuk menambahkan jumlah rancangan terbitan yang menekankan penggunaan puisi Melayu klasik seperti pantun ini.

Bukan itu sahaja, siaran radio tempatan seperti Era fm, Sinar fm, Hot Fm, Suria Fm, dan Muzik Fm perlu mencari identiti bangsa untuk diterapkan sewaktu ke udara. Para penyiar radio boleh menyelitkan penggunaan pantun dan pihak tertentu dalam sesebuah stesyen radio boleh mengadakan segmen pantun terutamanya pada waktu perdana dan kemuncak seperti waktu pagi. Pendengar sering memasang radio ketika berkerja atau memandu kereta ke tempat kerja. Secara tidak langsung, pendidikan dan menerapan puisi Melayu klasik ini menular dan sebati dengan masyarat kita tidak kira bangsa dalam kehidupan seharian. Para penyiar radio seharusnya menunjukkan contoh yang terbaik dalam membantu memartabatkan penggunaan pantun dalam kehidupan seharian kerana mereka berperanan sebagai ‘duta bahasa’ kepada pelajar dan pendengar asing. Oleh itu, pihak media sewajarnya memikul peranan tersebut dan menjalankannya dengan baik kerana akhbar dan radio ini merupakn salah satu medium sumber rujukan kepada warga asing yang inginmendalami tentang keindahan bahasa Melayu.

Secara konklusinya, semua pihak termasuklah ibu bapa, institusi pendidikan, media massa seperti media elektronik dan media cetak , masyarakat , pihak kerajaan dan organisasi bukan kerajaan (NGO)S atau swasta haruslah berganding bahu dan bermuafakat dalam memartabatkan penggunaan pantun dalam kehidupan seharian dengan memainkan peranan dan watak masing-masing. Di samping itu,kita hendaklah sebulat suara dan bersatu selain mencuba alternatif yang sesuai dalam menyuarakan pendapat dan perspektif masing-masing. Bak kata pepatah, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Kita hendaklah berbincang dan membuat rundingan apabila menemui jalan buntu dalam sesebuah masalah. Bukan itu sahaja, kita haruslah yakin bahawa di mana ada kemahuan di situ pada jalan dan setiap masalah pasti ada penyelesaiannya. Andai peranan dijunjung bagai berhampar lapik, berlicin daun dengan bertaut keyakinan diri, pasti yang sukar menjadi mudah.


No comments:

Post a Comment